PH gesa KPM umum segera pelan persekolahan

0
2

JAWATANKUASA Pendidikan Pakatan Harapan (PH) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyatakan segera pelan persekolahan pasca sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Pengerusinya, Dr Maszlee Malik, berkata ia perlu dinyatakan dengan telus supaya guru, ibu bapa dan murid-murid dapat membuat persiapan lebih awal.

Beliau berkata, mengikut perancangan sebelum ini, murid perlu kembali ke sekolah pada 12 Jun bagi kumpulan A dan 13 Jun bagi kumpulan B.

Namun, katanya, tarikh berkenaan masih dalam tempoh sekatan pergerakan fasa pertama iaitu pada 1 sehingga 14 Jun seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jadi, bilakah KPM akan mengumumkan rancangan seterusnya bagi sesi persekolahan yang akan datang?

“Adakah murid akan kembali ke sekolah ataupun akan mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)? Atau apakah pelannya jika sekatan perjalanan dilanjutkan atau ditamatkan? Kita tidak mahu keputusan di saat terakhir seperti kelazimannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya murid masih perlu kembali ke sekolah, adakah prosedur operasi standard (SOP) pengurusan Covid-19 di sekolah sudah dikemaskini.

“Ia kerana sebelum ini banyak aduan dibangkitkan berkenaan SOP yang tidak berkesan serta membimbangkan ibu bapa dan kakitangan sekolah.

“Malah sepanjang sesi PdPR yang terkini juga, masalah lama belum selesai. Guru dan pelajar masih dibelenggu dengan keadaan ketiadaan peranti, capaian internet yang lemah, suasana pembelajaran yang tidak kondusif.

“Sukatan mata pelajaran yang direka untuk pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang tidak sesuai diadaptasi kepada PdPR, kekurangan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam talian, pelaksanaan TV Pendidikan yang tidak efektif dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, Maszlee berkata, kakitangan sekolah terutama guru ketika ini masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19 walaupun sudah diminta berkali-kali.

Katanya, semua guru dan bukan terhad kepada guru berusia yang berisiko, perlu diberikan vaksin segera seperti gesaan oleh Jawatankuasa ini.

Beliau turut meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif ‘one-off’ kepada guru yang menggunakan wang sendiri sepanjang PKP untuk membeli data dan membuat persiapan bantuan mengajar dalam talian.

“Jawatankuasa juga meminta kerajaan mempercepatkan pemberian 150,000 komputer riba yang dijanjikan kepada murid dari keluarga B40.

“Jika kerajaan gagal berbuat demikian ia akan memberi kesan buruk yang mendalam kepada lebih lima juta pelajar generasi ini bukan sahaja untuk masa kini tetapi pada masa akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here