NAMA Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah kembali ‘hangat’ selepas dikecam warga Twitter susulan ciapannya yang didakwa tidak sensitif terhadap kes kematian Covid-19.
Dalam ciapan Twitternya petang semalam, Dr Rafidah memuat naik hantaran: ‘Tu 98 dikosongkan’ selain menyertakan emoji senyum.
Ia dipercayai merujuk angka kematian akibat Covid-19 yang diumumkan Kementerian Kesihatan malaysia (KKM) semalam, tertinggi sejak wabak itu melanda negara.
Komen Dr Rafidah itu bagi membalas ciapan seorang pengguna Twitter @mafeitz, yang menulis: “Ok. sudah 99.2% covid ICU bed. Itupun with 98 declared dead today. Endgame. Sudah habis.
Rata-rata pengguna Twitter melahirkan rasa tidak senang dengan tindakan Dr Rafidah kerana didakwa tidak peka dengan perasaan individu yang kehilangan orang tersayang akibat Covid-19.
Pemilik akaun Twitter, @dean_dean_d3 berkata, dalam 98 mangsa yang meninggal dunia itu ada antaranya membabitkan ibu, ayah, anak dan individu disayangi seseorang.
“Ia bukan sekadar nombor dan katil yang kosong. Tolong jangan melawak terhadap mereka yang sudah meninggal dunia walaupun kamu hanya sekadar menjadi sarkartik dalam situasi ini. Bersyukurlah orang yang kamu sayang bukan sebahagian daripada 98 ini,” tulisnya.
Selain itu, Dr Rafidah juga ditegur @johanandro yang menyifatkan beliau sebagai tidak berperikemanusiaan dan memintanya muhasabah sebelum membuat sebarang komen.
“Komen seperti ini langsung tak berperikemanusiaan. Jumlah 98 mangsa yang mempunyai ahli keluarga/sahabat handai/orang tersayang yang sedang meratapi pemergian mereka. Sila muhasabah sebelum membuat komen,” tulisnya.
@Saliayanti berkata: “Dia adalah Dr perubatan, pakar. Saya saksikan ramai pemilik PhD yang saya kenal tidak akan membuat kenyataan seperti di atas,” tulisnya.
Baru-baru ini, Dr Rafidah mencetuskan kontroversi menerusi Twitternya apabila mendakwa pihak media tidak memainkan peranan menulis kebaikan vaksin kepada rakyat.
Kenyataan beliau itu sekali gus menimbulkan kemarahan ramai pihak khususnya pengamal media yang mendakwa ia sebagai tuduhan tidak berasas.
Sususlan itu, KKM menjelaskan status yang dimuat naik Dr Rafidah tidak mewakili kementerian berkenaan dan akan memanggil beliau bagi mendapatkan penjelasan lanjut agar perkara sama tidak berulang. – Malaysiapost

