
AHLI Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mahu tindakan tegas dikenakan kepada ahli politik yang melakukan provokasi serta menghina Yang di-Pertuan Agong.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu, berkata sikap biadap individu terbabit terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah tidak wajar.
Beliau berkata, semua ahli politik perlu mempunyai adab dan akhlak supaya tahu membezakan hal politik dengan institusi beraja.
“Kita mungkin tidak sehaluan dengan Kerajaan dalam politik namun bersikap biadap dengan DYMM Tuanku Agong yang menjadi payung kepada semua rakyat sangat tidak wajar dan tidak beretika.
“Berpolitik tanpa adab dan tanpa akhlak ini perlu ditolak. Jangan samakan institusi beraja dengan musuh politik. Politik perlu dipagar dengan akhlak dan etika,” katanya menerusi Facebook.
Khairuddin berkata, beliau yakin majoriti rakyat Malaysia sangat bersetuju tindakan undang-undang yang tegas diambil kepada “binatang politik” itu.
Semalam, Iswardy memuat naik video secara ‘live’ berhubung Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini di Youtube rasmi miliknya.
Dalam video itu, Iswardy turut mengeluarkan kenyataan mendakwa Al-Sultan Abdullah seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19 selain mempersoalkan sama ada Yang di-Pertuan Agong ada menerima video dibuat individu lain mendakwa Iswardy ada menghina Sultan Abdullah.
“Tuanku, bangun tak, bangun tak bangun ini. Tahu tak apa sekeliling kita kes (Covid-19) jadi 8 ribu.
“Kita tahu makan di istana itu sedap, saya tidak pernah pergi kalau dijemput masuk nak juga,” dakwanya.
Selain itu, dalam video itu, Iswardy turut membandingkan Al-Sultan Abdullah dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di negeri Johor.
Susulan itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata polis sedang mengesan Iswardy.
Beliau berkata, pihaknya kini membuka tiga kertas siasatan susulan menerima laporan berhubung video tersebut. – Malaysiapost
