PKR menegaskan kenyataan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, menerusi video secara langsung yang dimuatnaik di laman Youtube semalam, tidak mewakili pendirian parti itu.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, berkata pihaknya mengambil maklum mengenai video berkenaan serta sudah memberi amaran keras kepada Iswardy sebelum ini.
“PKR mengesahkan Iswardy adalah seorang anggota biasa parti berdaftar di cabang Petra Jaya, Sarawak dan tidak memegang apa-apa jawatan di dalam hiraki pimpinan PKR Sarawak mahupun Pusat.
“Kenyataan beliau tidak sama sekali mewakili pendirian parti, sebuah parti yang menjunjung dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu seperti tercatat dalam perlembagaan parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Fahmi berkata, ucapan Iswardy dalam video sebelum ini juga pernah dibangkit dan dibincang Biro Politik PKR dan amaran keras sudah diberi kepadanya sejak April lalu.
“Parti juga telah memberi amaran tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk memecat beliau sekiranya beliau mengulangi perbuatan yang sama.
“Namun, oleh kerana isu video Iswardy kini telah menjadi kes siasatan Polis Diraja Malaysia, PKR akan menunggu hasil siasatan tersebut sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap beliau,” katanya.
Semalam, Iswardy memuat naik video secara ‘live’ berhubung Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini di Youtube rasmi miliknya.
Dalam video itu, Iswardy turut mengeluarkan kenyataan mendakwa Sultan Abdullah seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19 selain mempersoalkan sama ada Yang di-Pertuan Agong ada menerima video dibuat individu lain mendakwa Iswardy ada menghina Sultan Abdullah.
“Tuanku, bangun tak, bangun tak bangun ini. Tahu tak apa sekeliling kita kes (Covid-19) jadi 8 ribu.
“Kita tahu makan di istana itu sedap, saya tidak pernah pergi kalau dijemput masuk nak juga,” dakwanya.
Selain itu, dalam video itu, Iswardy turut membandingkan Sultan Abdullah dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di negeri Johor.
Susulan itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata polis sedang mengesan Iswardy.
Beliau berkata, pihaknya kini membuka tiga kertas siasatan susulan menerima laporan berhubung video tersebut. – Malaysiapost

