HARI ini merupakan detik hitam bagi negara apabila mencatatkan 98 kes kematian harian Covid-19, yang tertinggi sejak pandemik itu bermula, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan kematian 2,650, sebanyak 471 kematian berlaku pada tahun 2020, manakala 2,179 kematian dicatatkan dalam tempoh lima bulan pertama 2021.
Beliau berkata, dalam tempoh 1 hingga 29 Mei lalu sahaja, sebanyak 1,144 kematian disebabkan Covid-19 telah direkodkan dan ianya merupakan jumlah kes kematian bulanan yang paling tinggi setakat ini.
“Bilik simpanan mayat di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini mula penuh dan semakin sukar untuk menampung penambahan mendadak jumlah jenazah atau mayat susulan peningkatan kematian akibat Covid-19.
“Sehubungan itu, pihak perkhidmatan perubatan forensik telah menyediakan kontena khas khusus sama ada untuk jenazah/mayat pesakit Covid-19 atau bukan Covid-19 di lima hospital iaitu Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Sultanah Aminah JB, Hospital Queen Elizabeth I dan Hospital Sungai Buloh serta satu “fleximort” khusus untuk jenazah/mayat pesakit Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
“Setiap kontena khas ini boleh menampung maksimum 20 jenazah dan mayat, manakala bagi ‘fleximort’ maksimum sebanyak 12 jenazah/mayat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, dalam mengimbangi nyawa dan kehidupan (life and livelihood) adalah penting untuk semua pihak sentiasa meneliti semula keutamaan mereka mengikut keadaan semasa.
Jelasnya, setiap pihak yang berkepentingan pastinya mempunyai keutamaan masing-masing, namun bagi KKM dan petugas kesihatan, keutamaan mereka adalah kesihatan awam dan menyelamatkan nyawa.
“Apabila kes aktif Covid-19 melebihi kemampuan dan kapasiti kami untuk merawat, maka doktor akan terpaksa membuat pilihan sukar untuk mengutamakan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit yang mempunyai potensi sembuh lebih tinggi berbanding pesakit potensi sembuhnya lebih rendah (poor prognosis).
“Ini adalah implikasi yang tidak diingini oleh setiap petugas kesihatan, namun pilihan sukar ini akan terpaksa dilakukan apabila sistem kesihatan mencapai kapasiti maksima,” ujarnya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham meminta orang ramai membantu petugas kesihatan agar sistem kesihatan negara tidak lumpuh dan semua pihak dari peringkat tertinggi hingga ke rakyat jelata perlu membantu memutuskan rantaian Covid-19.
“Marilah kita kekal duduk di rumah. Jika anda mempunyai urusan penting di luar, pastikan anda mematuhi SOP agar diri dan ahli keluarga dilindungi. Kita jaga kita. Pastikan tiada pergerakan dan tiada perhimpunan,” ujarnya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

