Penumpang LRT, MRT disaran buat saringan – Prasarana

0
2

PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) menyarankan semua penumpang yang menggunakan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya dan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang ketika waktu puncak pagi semalam melakukan ujian saringan Covid-19.

Prasarana dalam kenyataan berkata, saranan itu susulan mesej tular di media sosial oleh dua penumpang yang menyatakan mereka telah didapati positif Covid-19.

“Penumpang bernama Claudia Nuriman membuat ‘posting’ dalam akaun Twitter @claudianuriman menyatakan bahawa beliau menaiki tren LRT Wangsa Maju ke Pasar Seni.

“Dia seterusnya menyambung perjalanan menggunakan perkhidmatan MRT ke Stesen Semantan. Perjalanannya itu adalah antara 7.30 pagi hingga 8.30 pagi pada 28 Mei (semalam),” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut Prasarana, seorang lagi pemilik akaun Twitter dikenali sebagai Nurul Aisyah @asyxxi turut memberitahu bahawa dia diuji positif Covid-19.

Justeru, Nurul Aisyah menasihati para penumpang yang menaiki tren LRT dari Taman Melati ke KLCC pada pagi 27 Mei antara jam 8 pagi sehingga 9 pagi supaya segera menjalani ujian saringan.

“Rapid KL mengalu-alukan sikap terbuka kedua-dua penumpang berkenaan dan kami menasihati penumpang untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menggunakan perkhidmatan tren khususnya pemakaian pelitup muka dengan betul.

“Jika boleh, gunakan pelitup muka berganda untuk menjaga kesihatan masing-masing serta berhemah ketika menaiki tren bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19, ” katanya.

Selain itu, Prasarana memaklumkan, semua tren Rapid KL disanitasi setiap malam untuk memastikan keselamatan dan keselesaan para penumpang kami.

“Sekiranya mempunyai tanda-tanda bergejala, elakkan menggunakan perkhidmatan tren dan meletakkan para penumpang lain dalam risiko,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here