Insiden LRT: 83 mangsa diminta tampil bagi urusan bantuan ihsan

0
2

PRASARANA Malaysia Bhd (Prasarana) meminta 83 daripada 213 mangsa terlibat dalam insiden pertembungan tren Transit Aliran Ringan (LRT) untuk segera tampil untuk memberi maklumat diri.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datin Norlia Noah, berkata setakat ini seramai 111 individu sudah mempunyai butiran lengkap.

Justeru, katanya, maklumat mangsa lain sangat diperlukan untuk urusan pemberian sumbangan ihsan seperti diumumkan sebelum ini.

“Prasarana akan memberikan sumbangan ihsan atau ‘goodwill payment’ kepada para penumpang yang terlibat dalam insiden berkenaan.

“Jumlah bayaran dan hak penerimaan akan ditentukan sebaik butiran tentang penumpang dapat dilengkapi.

“Saluran khas di talian 014-737 1330 dan e-mel: [email protected] telah dilancarkan khusus untuk komunikasi secara langsung dengan para penumpang yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terdapat juga 12 warga asing dari Indonesia, Filipina, Iran, Bangladesh dan Timur Tengah terlibat dalam insiden itu dan pihaknya sudah menghubungi kedutaan negara-negara berkenaan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan para penumpang kami khususnya atas insiden yang tidak diingini ini.

“Kami amat dukacita dengan kejadian ini yang menghapuskan rekod baik LRT Laluan Kelana Jaya yang telah beroperasi selama 23 tahun.

“Saya juga memohon maaf atas sebarang kekhilafan dan kepincangan kami dalam menangani insiden ini. Kami akan terus berkongsi maklumat terkini tentang semua perkembangan insiden ini,” katanya.

Beliau berkata, ia termasuklah maklumat mengenai mereka yang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur, status pengesanan penumpang serta proses pemulihan sepenuhnya perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.

Katanya, daripada 67 orang yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur, 62 penumpang telah dibenarkan keluar selepas mendapatkan rawatan.

“Manakala, lima penumpang masih berada di hospital sementara tiga individu ditempatkan di wad biasa dan dijangka dibenarkan keluar dalam tempoh dua ke tujuh hari,” katanya

Isnin lalu, dua tren LRT bertembung berdekatan Stesen KLCC di ibu negara mengakibatkan 64 penumpang dikejarkan ke HKL manakala baki 149 dirawat di lokasi kejadian berkenaan.

Menterinya Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, satu Jawatankuasa Siasatan terdiri dari pelbagai agensi akan ditubuhkan bagi mengumpul laporan insiden kemalangan terbabit. – Malaysiapost

Foto Kredit: myrapid

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here