SERAMAI lapan individu termasuk penganjur dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM65,000 kerana menyambut hari jadi di Pusat Dagangan NZX, Ara Damansara, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, berkata semua mereka didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata, bertindak atas maklumat awam sepasukan petugas pemantau PKP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah membuat pemeriksaan mengejut di pejabat tersebut pada jam 2.50 petang.
“Dalam pemeriksaan tersebut pasukan pematuhan PKP IPD Petaling Jaya mendapati terdapat majlis sambutan hari lahir telah diadakan di dalam sebuah bilik.
“Ketika serbuan terdapat sembilan individu iaitu lima perempuan dan empat lelaki lingkungan umur 23 tahun sehingga 45 tahun yang merupakan warganegara tempatan berada di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, majlis sambutan hari lahir adalah aktiviti yang terlarang sebagaimana di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Lapan individu dikompaun RM5,000 sementara penganjur majlis didenda RM25,000.
“Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi SOP ditetapkan rantaian Covid-19 dapat diputuskan,” katanya. – Malaysiapost

