PEMILIK akaun Instagram @duriankimchi, Ryzal Ibrahim diminta memberi kerjasama untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri bagi membantu siasatan kes menghina pakaian tradisonal suku Iban Sarawak.
Ia susulan satu video berdurasi 56 saat milik beliau yang dimuat naik di media sosialnya tular, dilaporkan menghina dan mempersendakan pakaian tradisional suku kaum Iban Sarawak.
Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintenden Mohd Sabri Zainol, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Miri telah menerima laporan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Sarawak berkaitan video tular berkenaan.
“Kes disisat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sehubungan itu, beliau meminta Ryzal menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Akbal Singh Sandhu di talian 016-8825407 untuk proses rakaman keterangan.
Dalam masa sama, Mohd Sabri mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya lebih sensitif kepada kepelbagaian budaya dan adat di negara ini.
“Selain itu perlu sentiasa peka dan berhati-hati dalam menyampaikan komen di pelbagai platform terutamanya di media sosial untuk mengelakkan unsur kebencian perkauman timbul di dalam Malaysia,” katanya.
Video berkenaan yang tular di laman Twitter, telah dimuat naik di Instagramnya, ryzalibrahim di bahagian Insta Story.
Menerusi rakaman tersebut, Ryzal atau nama sebenar Nik Muhammad Ryzal Ibrahim mempersenda busana tradisi tersebut dengan melabel beberapa bahagian utama persalinan itu sebagai kain meja, kepingan duit syiling, alas televisyen dan kain buruk.
Ketika video itu dirakam, isterinya seorang wanita warga Korea Selatan, Maryam You Narae, sedang mengenakan busana tradisi itu ketika ditatarias. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
