Parti politik digesa tidak manipulasi situasi Covid-19 – Ikatan

0
2
shahir adnan ikatan

DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (Ikatan) menggesa semua parti politik termasuk pembangkang agar tidak memanipulasi situasi hari ini untuk kepentingan politik semata-mata, sebaliknya fokus membantu rakyat.

Ketuanya, Shahir Adnan, berkata sehubungan itu tiada keperluan untuk Pakatan Harapan (PH) dan Ketua Pembangkang menggesa Parlimen bersidang.

“Adalah bagusnya setiap Ahli Parlimen turun ke kawasan masing-masing untuk memberikan bantuan daripada berdebat secara membabi buta di Parlimen, seperti mana yang kita semua lihat pada setiap sidang Parlimen yang lepas.

“Rakyat perlu didahulukan dan kepentingan negara perlu diutamakan. Seluruh masa dan tenaga perlu difokuskan untuk menentang Covid-19.

“Penggantungan Parlimen juga dapat menghindari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak buat masa ini. Ambil pengajaran daripada PRN Sabah yang mencetuskan gelombang Covid-19 di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya bersetuju sekiranya darurat dilanjutkan hingga akhir tahun sehingga berjaya menurunkan kes harian Covid-19.

Katanya, sekarang bukan masa untuk berdebat di Parlimen, tetapi masa untuk Ahli Parlimen bekerja demi rakyat.

“Justeru, Ikatan menyeru Kerajaan Perikatan Nasional untuk mengumumkan bantuan khas kepada rakyat dan moratorium secara automatik dengan kadar segera.

“Ramai yang terpaksa duduk rumah dalam tempoh PKP 4.0, seterusnya hilang sumber pendapatan dalam tempoh terdekat ini.

“Bank-bank yang mencatatkan keuntungan bersih berbilion ringgit waktu PKP 1.0 sewajibnya dapat membantu rakyat Malaysia dalam keadaan yang susah dan terdesak sekarang. Moratorium automatik untuk 3 bulan mencukupi untuk rakyat bernafas,” katanya.

Beliau berkata, Ikatan turut menyokong penuh keputusan Kerajaan PN melaksanakan PKP penuh yang bermula 1 Jun ini demi kebaikan rakyat.

“Jadi, diharapkan PKP 4.0 ini dapat melandaikan lengkuk kes harian Covid-19, sepertimana kejayaan rakyat Malaysia pada PKP 1.0.

“Rakyat harus sedar bahawa keputusan yang dibuat Kerajaan Perikatan Nasional ini adalah suatu keputusan yang sukar kerana ianya melibatkan kesihatan awam dan ekonomi negara,” katanya.

Ikatan juga menggesa rakyat duduk di rumah dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar dapat menurunkan kes dalam tempoh masa singkat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here