KUASA untuk menetapkan senarai sektor dibenar beroperasi dalam tempoh ‘total lockdown’ tidak boleh diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semata-mata.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak boleh diberi kuasa ‘veto’ berhubung perkara itu bagi mengelak isu lobi.
“Kuasa untuk menetapkan senarai sektor dibenar beroperasi dalam tempoh ‘total lockdown’ ini tidak boleh diletakkan dalam tangan MITI sahaja.
“Menteri MITI juga tidak boleh diberi kuasa veto untuk memasukkan mana-mana kilang tertentu dalam senarai dibenarkan untuk elak towkay melobi menteri,” katanya dalam hantaran Facebook.
Najib berkata, keperluan pelaksanaan total lockdown dibuat adalah atas asas kesihatan maka keputusan akhir bagi senarai boleh beroperasi juga mestilah berdasarkan asas yang sama.
“Tempoh 14 hari pertama total lockdown ini adalah sangat kritikal. So, get it right this time,” katanya.
Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.
Perkara itu diputuskan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri petang semalam. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/28/kerajaan-umum-total-lockdown-mulai-1-hingga-14-jun/\

