ORANG ramai dirayu supaya melakukan kawalan kendiri dengan duduk di rumah kerana sistem benteng kesihatan negara kini hampir lumpuh.
Rayuan itu sekali lagi dibuat Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang meminta rakyat mengamalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kendiri.
“Semoga segala urusan pengendalian pesakit dipermudahkan.
“Benteng pertahanan kesihatan negara hampir lumpuh dan harapan kita hanya kepada petugas-petugas barisan hadapan.
“Bantulah Kementerian Kesihatan (KKM) dengan duduk di rumah dan amalkan PKP kendiri.
“Marilah kita betulkan niat dan iklaskan hati kita berusaha bersungguh-sungguh dan bertawakkal kepada Allah SWT,” luahnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut berkongsi satu perkongsian dimuat naik seorang doktor yang bertugas di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati, Shah Alam, Dr Muhaimin Abdullah mengenai kes Covid-19 kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat di CAC berkenaan.
Pesakit Covid-19 kategori 4 adalah pesakit yang berada dalam keadaan bergejala teruk dan mengalami pneumonia serta memerlukan bantuan oksigen kerana oksigen dalam darah sangat kurang iaitu di bawah 94 peratus.
Bagi kategori 5 pula, pesakit sangat kritikal sehingga tidak sedarkan diri dan memerlukan bantuan pernafasan dan perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). – Malaysiapost

