PRK Slim: Warga emas berang dihalang mengundi kerana memakai seluar pendek

0
3

BEBERAPA pengundi warga emas berang selepas tidak dibenarkan masuk ke pusat pengundian kerana memakai seluar pendek.

Kejadian itu berlaku di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaaan Aminuddin Baki, di Slim, pagi tadi.

Menurut laporan Malaysia Gazzete, seorang warga emas sempat menjerit berkata dia sudah mengundi sebanyak sembilan kali dan ini kali pertama tidak dibenarkan masuk ke pusat pengundian kerana memakai seluar pendek.

Manakala seorang lagi warga emas yang dikenali Yoong tidak dapat menahan kecewa mengoyak kad pengundi sebelum beredar.

Ejen sebuah parti yang dikenali Wee ditemui turut meluahkan rasa kecewa kerana dianggarkan lebih 10 pengundi telah pulang tanpa mengundi kerana kecewa.

“Mereka semua orang kampung, tak kan mahu pakai cantik-cantik pergi pejabat. Ada yang lepas mengundi mahu terus pergi kerja,” katanya.

Tidak berapa lama kemudian seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghampiri mereka mengatakan berlaku salah faham dan pengundi terbabit dibenarkan masuk ke pusat pengundian.

Namun, selepas 10 minit kelihatan beberapa pengundi yang dihalang masuk kembali dengan memakai seluar panjang.- Malaysiapost