IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai meningkatkan kawalan sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kuarters KLIA – Salak Tinggi yang bersempadan antara Selangor dan Negeri Sembilan.
Usaha memperketatkan SJR itu bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai surat kebenaran sah dibenarkan masuk ke Negeri Sembilan.
Menerusi hantaran di Facebooknya, IPD Nilai berkata ia termasuk memantau setiap ‘laluan tikus’ kerana percaya akan ada cubaan untuk memasuki negeri itu melalui laluan tersebut.
“Justeru, pihak IPD Nilai khususnya Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik sentiasa bersiap siaga di setiap SJR yang ditentukan, bagi memastikan cubaan rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran dapat dipatahkan, termasuklah di lorong-lorong tikus.
“Kerjasama orang ramai amat diperlukan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan pada setiap masa,” kata kenyataan itu.
Pada masa sama, IPD Nilai turut menasihatkan orang ramai agar kekal berada di rumah dan tidak perlu keluar jika tiada sebarang keperluan dalam usaha memutuskan rantaian virus Covid-19.
“Memandangkan masyarakat tidak dibenarkan untuk merentas daerah dan negeri, adalah dinasihatkan supaya orang ramai tidak berbuat demikian kerana ini akan mengundang padah, tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya arahan ini gagal dipatuhi,” katanya.
IPD Nilai hari ini mengeluarkan 35 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas telah dikeluarkan dalam operasi hari ini menerusi pemeriksaan terhadap 125 individu.
Bagaimanapun, tiada sebarang kompaun atas kesalahan pelanggaran SOP dikeluarkan di lokasi tersebut setakat hari ini. – Malaysiapost

