JKJAV putuskan boleh tambah selang masa dos kedua vaksin Pfizer – KJ

0
1

JAWATANKUASA Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) memutuskan pemberian dos kedua vaksin Pfizer boleh dijarakkan daripada tiga minggu kepada enam minggu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, berkata ia bagaimanapun bergantung kepada kadar penularan varian yang membimbangkan (VOC) B 1.617.2 atau varian India di negara ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu berkata, walaupun strategi untuk menjarakkan dos kedua akan membolehkan pemberian vaksin kepada lebih ramai orang, keputusan itu perlu diimbangi dengan melihat kewujudan VOC yang mana ia akan memberi kesan kepada keberkesanan vaksin tersebut.

“JKJAV yang bermesyuarat hari ini turut menerima cadangan Jawatankuasa Pemilihan Calon Vaksin Covid-19 (JKPCV) diketuai oleh Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Dr Kalaiarasu M Peariasamy yang membentangkan beberapa syor kepada kerajaan.

“Salah satu adalah berkenaan selang masa dos kedua untuk vaksin Pfizer dan keputusan JKJAV pada hari ini adalah selang masa dos kedua vaksin Pfizer boleh dijarakkan daripada tiga minggu kepada enam minggu.

“Pelaksanaan penjarakan ini akan kita putuskan apabila melihat kepada penularan varian membimbangkan (VOC) yang ada buat masa ini,” katanya dalam sidang media perkembangan semasa PICK, hari ini.

Khairy berkata, setakat ini data menunjukkan satu dos Pfizer hanya memberi perlindungan 33 peratus terhadap varian B 1.617.2 atau varian India, manakala dua dos Pfizer akan beri perlindungan sebanyak 88 peratus.

“Ini strategi yang baik dari segi liputan orang ramai yang dapat diberi perlindungan tetapi dari segi kualiti perlindungan terhadap varian India adalah lebih rendah.

“Kita akan lihat kadar jangkitan varian tersebut, jika jangkitannya di lokaliti adalah rendah maka kita boleh buat keputusan menambah selang masa antara dua dos Pfizer, manakala di kawasan yang sudah ada jangkitan VOC B. 1.617.2 kita akan buat keputusan untuk kekal dengan jarak masa tiga minggu.

“Ini selari dengan keputusan terkini daripada negara lain yang melihat kepada isu VOC dimana satu dos sahaja tidak memberi perlindungan yang efektif kepada penerima vaksin kepada varian B. 1.617.2,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here