Nurul Huda Abhar
DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman boleh dinasihatkan secara peribadi untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berbanding menamatkan kontraknya secara serta-merta.
Perkara itu dinyatakan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali yang mempersoal mengapa Tajuddin dipecat sedangkan beliau sudah membuat permohonan maaf.
“Bagaimanapun, Tajuddin dipecat sebagai Pengerusi Prasarana atas keceluparannya. Budaya Malaysia sebelum ini, cakap apa pun, maki hamun Islam, raja-raja, hina Melayu tidak ada pun tindakan, asalkan minta maaf sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim berkata, sebelum ini ada juga pihak melakukan kesalahan lebih teruk kepada sistem pentadbiran negara atau jenayah moral yang sepatutnya dipecat atau didakwa, namun tiada tindakan atau pendakwaan.
“Kalau hidup seiring dan seia sekata dengan pihak berkuasa, mungkin ada masa untuk istighfar dan cukup dengan permohonan maaf.
“Malaysia negaraku yang sekarang serba pelik berlaku dan pelbagai tragedi satu lepas satu.. lepas ini apa pula..,” ujarnya lagi.
Semalam, khidmat Tajuddin sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana ditamatkan serta-merta namun tidak dinyatakan alasan serta sebab.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu dikritik hebat sejak kelmarin, selepas didakwa tidak serius dan berjenaka semasa sidang media berhubung kemalangan tren LRT Kelana Jaya di Stesen KLCC. – Malaysiapost

