“Lockdown” kendiri politik gagal kekang Covid-19 – PH

0
2

“LOCKDOWN” kendiri politik dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerusi pengisytiharan darurat ketika ini bertujuan untuk menyelamatkan kedudukan mereka yang kehilangan majoriti Parlimen.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata “lockdown” kendiri politik tanpa kebertanggungjawaban, ketelusan dan proses semak dan imbang memburukkan pandemik Covid-19, seperti dipersetujui Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini.

“Maka dalam keadaan hampir semua Ahli Parlimen telah menerima vaksin, Majlis Presiden menggesa semua Ahli Parlimen untuk bersama menuntut agar Parlimen dibuka semula,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut ketiga-tiga pemimpin, sejak berkuatkuasa 11 Januari 2021 hingga hari ini, jelas kuasa darurat tidak berjaya mengekang penularan wabak Covid-19, sebaliknya keadaan menjadi jauh lebih serius.

Ini katanya, walaupun kerajaan diberi kuasa penuh untuk melakukan segala ikhtiar dan upaya, namun tidak berjaya berdasarkan data dan bukti sedia ada.

“Kerajaan PN telah gagal. Oleh itu, Majlis Presiden menegaskan melalui wakil PH dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat bahawa darurat ini bukan sahaja tidak perlu dipanjangkan lebih dari 1 Ogos 2021, malah
perlu ditamatkan segera.

“Parlimen harus bersidang segera untuk memulihkan demokrasi. Sekiranya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat masih mendiamkan diri, PH terpaksa mempersoal peranan dan fungsi wakil kami di dalam jawatankuasa tersebut, atau apakah kehadiran wakil kami dijadikan “pelitup muka” untuk mengiakan segala penggunaan kuasa darurat yang mengetepikan Parlimen.

“Strategi menangani Covid-19 sedia ada memerlukan penjajaran semula dan Majlis Presiden telah mengarahkan Jawatankuasa-Jawatankuasa PH yang berkaitan untuk mengadakan perbincangan segera bagi meneliti dasar yang diperlukan untuk menyelamatkan negara dari pandemik ini,” katanya lagi.

Terdahulu hari ini, Azalina mencadangkan Dewan Rakyat kembali bersidang kerana ia “satu-satunya cara untuk Malaysia maju ke depan” dalam menangani Covid-19.

Bagaimanapun, bagi mengelak “drama yang tidak diingini”, Ahli Parlimen Pengerang itu mencadangkan supaya tiada usul undi tidak percaya didengar sehingga pandemik berjaya dikawal dan imuniti kelompok mencapai tahap 50 peratus.

Sementara itu, Majlis Presiden menyatakan mengambil maklum kemarahan rakyat terhadap isu prosedur operasi standard (SOP) yang mengelirukan, sering bertukar atau “U-turn”, dan penguatkuasaan berbeza antara VIP dan rakyat biasa.

“Majlis Presiden turut mengambil maklum kadar pemberian vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac masih belum mencapai kadar dijanjikan kerana dibelenggu pelbagai masalah termasuk isu bekalan.

“Isu pemberian vaksin termasuk dos vaksin AstraZeneca yang tidak mencukupi, serta pendaftaran yang amat menyukarkan rakyat sungguhpun RM70 juta telah dibelanjakan untuk sistem laman web.

“Kadar pemberian vaksin perlu disegerakan terutama apabila keperluan dana RM5 bilion telahpun tercapai dengan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) tanpa kelulusan Parlimen,
untuk kos pembelian dan pelaksanaan,” katanya.

Katanya lagi, Majlis Presiden turut menggesa Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk mempercepat kelulusan vaksin-vaksin Sinopharm, Sputnik V dan Moderna agar sasaran imunisasi kelompok dapat dicapai dengan lebih pantas.

“Ini memandangkan vaksin Sinopharm telah menerima kelulusan WHO, dan Sputnik V serta Moderna telah mula diguna di pelbagai negara,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Shafwan Zaidon/Malay Mail

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here