KERTAS siasatan berhubung kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan seorang Exco Selangor yang didakwa menganjurkan jamuan Aidilfitri di rumahnya pada 1 Syawal sudah lengkap.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaaan Negeri Selangor untuk arahan lanjut.
“Kes itu sudah disiasat dan kertas siasatan sudah dilengkapkan oleh pasukan kami.
“Ia akan dihantar ke pejabat Pendakwa Raya hari ini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media secara maya melalui aplikasi Google Meet hari ini.
Menurutnya, beberapa individu termasuk Exco berkenaan sudah dipanggil dan selesai diambil keterangan.
Sebelum ini polis dilaporkan akan memanggil Exco Selangor, Borhan Aman Shah untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Sepat itu turut mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan mengambil sepenuh tanggungjawab berhubung penganjuran majlis sambutan raya itu.
Menurutnya, kerjasama penuh sudah diberikan kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
Kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021. – Malaysiapost

