MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berhak menamatkan kontrak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai pengerusi bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).
Demikian kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi Facebook miliknya semalam.
Beliau berkata, jawatan yang dipegang seseorang atas lantikan politik hanyalah sementara.
Justeru, jelasnya, Tengku Zafrul berhak melakukan tindakan sedemikian.
“Setiap jawatan dalam politik ini hanya sementara. Apa juga pun jawatan. Paling lama mungkin 22 tahun. Boleh jadi 22 bulan.
“Jawatan di Prasarana itu lantikan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan beliau berhak tamatkan,” katanya.
Tajuddin dilantik sebagai Pengerusi Prasarana berkuatkuasa 11 Mei 2020 menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim yang meletak jawatan pada 7 Mei 2020.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi itu bersabar dalam menghadapi dugaan itu serta mendoakan yang terbaik bagi kedua-dua pihak.
“Manusia mana ada yg sempurna. Saya doakan yang terbaik untuk Datuk Seri Tajuddin dan Menteri juga,” katanya.
Semalam, satu surat bertarikh 26 Mei 2021 ditandatangani Menteri Kewangan, Tengku Zafrul menyatakan khidmat Ahli Parlimen Pasir Salak itu sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana ditamatkan serta-merta.
Jurucakap media Kementerian Kewangan mengesahkan perkara berkenaan selepas surat bagi memaklumkan penamatan kontrak Tajuddin itu tular di media sosial lewat petang tadi. -Malaysiapost
Artikel berkaitan

