‘Kecuaian manusia’ punca insiden LRT, kurang tepat – MOT

0
3

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) menyifatkan persepsi ‘kecuaian manusia’ menjadi punca insiden pelanggaran membabitkan perkhidmatan tren LRT Laluan Kelana Jaya malam Isnin lalu, sebagai kurang tepat.

Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ‘faktor manusia’ hanyalah satu aspek dalam siasatan kerana banyak lagi faktor keseluruhan teknikal dan operasi turut diteliti.

“Jawatankuasa Siasatan yang terdiri daripada sembilan individu diketuai Ketua Setiausaha MOT, Datuk Isham Ishak telah memulakan siasatan dari pelbagai aspek, termasuk berkaitan kecuaian manusia.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa salah seorang kakitangan (hostler) yang terlibat dalam kejadian tersebut juga telah disahkan negatif dadah semalam. Individu tersebut wajar diberi hak bagi memudahkan siasatan tanpa rumusan awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menggesa orang ramai bersabar dan tidak mensensasikan sesuatu berita tidak tepat serta memberikan ruang kepada Jawatankuasa Siasatan melakukan siasatan.

“Siasatan akan terus dilakukan untuk melihat bagaimana dan mengapa halangan keselamatan dilanggar sehingga menyebabkan insiden tersebut berlaku, serta memberi cadangan keselamatan sepenuhnya untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

“Keselamatan sistem pengangkutan LRT sebagai kepentingan awam tidak boleh dikompromi. Oleh itu, aspek keselamatan mesti menjadi perkara utama.

“Jawatankuasa Siasatan juga akan meminta pandangan pihak luar yang memiliki kepakaran masing-masing supaya dapat membantu melengkapkan laporan akhir,” katanya.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata semua mangsa yang terbabit dalam insisden itu menerima rawatan yang sangat baik di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan bantuan 300 kakitangan perubatan.

“Seramai 67 mangsa dirawat di HKL, dimana 61 orang telah discaj. Pada masa ini, enam masih dalam rawatan dengan tiga daripadanya di bawah zon kritikal.

“MOT melahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan keluarga mangsa serta mendoakan agar mereka segera sembuh. MOT akan terus berhubung dengan pihak hospital untuk mendapatkan perkembangan mangsa,” katanya.

Dalam insiden Isnin lalu, sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah dalam perlanggaran dua tren LRT, masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya.

Kedua-dua tren dilaporkan bertembung kira-kira jam 8.45 malam di antara stesen Kampung Baru dan KLCC. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here