KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyeru rakyat khususnya di Kelantan untuk mengambil suntikan vaksin demi kesejahteraan bersama.
Asyraf berkata, beliau dimaklumkan terdapat 10,000 penduduk Kelantan enggan mengambil suntikan tersebut selepas membaca laporan berita semalam.
Katanya, Allah SWT menyuruh hambanya berikhtiar dan berusaha dalam sesuatu perkara bukan hanya berserah semata-mata.
“Justeru, suntikan vaksin yang disediakan oleh kerajaan adalah satu inisiatif dan ikhtiar bagi menangani penularan Covid-19.
“Dua tiga hari ini saya baca berita ada 10,000 sahabat-sahabat kita, ahli keluarga kita di Kelantan yang tidak hadir untuk suntik vaksin. Ada yang kata buat apa cucuk.. ajal maut ni serah di tangan Tuhan,” katanya menerusi hantaran video di Facebooknya.
Tambahnya, keadaan ini juga berpunca daripada individu-individu berfikiran sempit, dan suka menyukarkan situasi dengan menghasut orang lain supaya anti kepada vaksin.
Justeru, beliau meminta orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan agenda mereka.
“Saudara dan saudari jangan selalu mendengar mereka-mereka yang cuba merosakkan pemikiran kita, bercakap macam-macam, hasut kita jangan ambil suntikan vaksin.
“Yang paling penting, kita ikhtiar, mudah-mudahan Tuhan lindungi kita dan mudah-mudahan Allah SWT jaga kita, jaga keluarga kita,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, seramai 10,827 daripada 30,100 individu yang diberi janji temu melalui aplikasi MySejahtera bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kedah dikesan tidak hadir antara 19 April hingga Sabtu lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Fikri Ujang, berkata jumlah itu membabitkan individu yang sepatutnya disuntik di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam dan PPV Klinik Kesihatan seluruh negeri.
Katanya, antara punca dan mereka tidak hadir adalah mereka bertukar fikiran disebabkan belum bersedia untuk menerima suntikan vaksin. – Malaysiapost

