POLIS memanggil pihak pengurusan sebuah kilang di kawasan perindustrian Ayer Keroh, Melaka, susulan penularan rakaman beberapa video dipercayai pekerja premis itu memakai gelang merah jambu melanggar perintah kuarantin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata dalam rakaman video itu beberapa lelaki dipercayai warga asing keluar dari kediaman mereka untuk membeli barangan runcit di Taman Ayer Keroh Height.
“Polis sudah menerima laporan berhubung penularan video terbabit menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira jam 1.50 tengah hari semalam dan berdasarkan rakaman itu dipercayai terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berlaku.
“Susulan itu, pengurus sumber manusia kilang itu sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk merakam percakapan dan mendapatkan butiran lanjut pekerja terbabit bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati warga asing berkenaan baru memakai gelang merah jambu terbabit dan dalam proses dihantar pulang ke hostel masing-masing untuk kuarantin.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15 Perenggan 22 (B) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021 Akta 342,” katanya. – Malaysiapost

