Bekas wartawan Utusan harap Aziz lebih jujur terajui syarikat TH

1
1

BEKAS wartawan Utusan Melayu Berhad (Utusan) melahirkan rasa tidak puas hati dengan pelantikan Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir sebagai pengerusi syarikat minyak dan gas, TH Heavy Engineering Berhad.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, Saharudin Mohd Musthafa meluahkan rasa kecewa dengan bekas Pengerusi Eksekutif Utusan itu selain menyifatkan beliau ‘lepaskan tangan’ dengan nasib kakitangan selepas syarikat akhbar itu ditutup.

Sehubungan itu, beliau meminta Abd Aziz menjaga syarikat minyak dan gas terbabit sebaik mungkin dan tidak menganiaya sesiapa terutama kakitangan sendiri.

“Yang Bahagia Datuk Aziz… saya doakan Datuk jaga syarikat ini elok-elok. Berpeganglah pada prinsip yang Datuk selalu ikrar tak akan aniaya staff sebab Datuk takut nak jawab di Padang Masyar nanti.

“Jangan ulangi malapetaka yang Datuk tinggalkan kepada kami lebih 800 bekas staff Utusan yang ambil pampasan dalam skim pemisahan sukarela (VSS) yang sampai skrg belum dibayar habis pampasan. Bukan sedikit Datuk. Ada setengahnya masih ada ratusan ribu tidak dibayar.

“Ada juga sahabat-sahabat yg sudah dijemput Ilahi tak merasa pampasan. Yang susah tak ada kerja, yang sakit pun ramai. Macam tu juga sahabat-sahabat saya yang diberhentikan tanpa pampasan yg sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, Abd Aziz telah berikrar dan berjanji akan memperbaiki keadaan Utusan tetapi sebaliknya berlaku.

Katanya, Abd Aziz juga yang telah menawarkan VSS kepada mereka namun hingga kini ‘janji hanya tinggal janji’ lebih-lebih lagi beliau juga meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation) bagi menutup operasi syarikat.

“Pada hari terakhir saya dan rakan-rakan di Utusan, saya masih ingat ikrar dan janji Datuk yang dibuat seraya air mata tumpah… ‘Saya tak mau esok tuan-tuan dan puan-puan cari saya di Padang Masyar… saya takut nak jawab’.

“Namun, kami semua ditinggalkan terkontang-kanting. Semuanya buntu, tak tau nak pikiaq apa dah.

“Saya tak kata Datuk salah 100 peratus, tapi idea VSS, idea bayar pampasan secara ansuran (yang tak pernah dibuat syarikat lain) adalah idea Datuk. Dan Datuk juga yang berjanji dengan kami sehingga ramai yg terpedaya dengan janji-janji manis Datuk,” luahan.

Justeru, beliau menyerahkan perkara ini kepada Allah dan mengharapkan kebenaran akan muncul nanti.

“Tak apalah Datuk, kepada Allah kami berserah semoga kebenaran akan ditunjukkan satu hari nanti,” katanya. – Malaysiapost

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here