Khairuddin: Manusia mana tak buat silap, tak akan letak jawatan

0
3

Muhammad Afiq

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan tiada keperluan untuk beliau berundur daripada Kabinet susulan kontroversi berhubung isu kuarantin Covid-19.

Khairuddin berkata, beliau tidak membuat sebarang kesilapan dalam melaksanakan tugasnya sebagai anggota Kabinet kerajaan.

“Saya tak buat salah melibatkan kerja saya, tapi melibatkan satu kekhilafan dalam isu SOP (prosedur operasi standard).

“Saya serahkan pada pihak polis (jalankan siasatan), walaupun saya ada pandangan saya sendiri, dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah keluarkan kenyataan.

“Bagi saya selesailah…walaupun saya ada pandangan sendiri,” katanya ketika ditemui media ketika berkempen di Slim, hari ini.

Malam tadi Polis telah merakam keterangan Khairuddin Aman Razali dan beberapa saksi berhubung kegagalan menteri itu mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada Julai lepas.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata keterangan Mohd Khairuddin diambil pada 8.30 malam tadi di Bukit Aman bersama beberapa saksi lain bagi membantu siasatan.

Menurutnya proses berkenaan yang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USTJ) Bukit Aman selesai kira-kira 11.30 malam tadi.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata beliau dan tiga lagi ahli keluarganya dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman malam tadi.

Khairuddin berkata, beliau berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan pihak polis.

“Saya dari awal puas hati… telah umumkan permohonan maaf dan kekhilafan dan saya pulangkan semua gaji yang saya dapat untuk bulan Mac hingga Ogos pada rakyat untuk Covid-19.

“Yang penting saya buat kerja dengan biasa. Manusia mana tak buat silap? ,”katanya lagi. – Malaysiapost