PRN Sabah: Padam terus isu tuntutan Filipina

0
2

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menggesa kerajaan Pusat mencari jalan untuk menghapuskan sama sekali isu tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Jelasnya, pendekatan ‘government to government’ boleh digunakan untuk memberi penjelasan kepada Filipina bahawa tidak timbul lagi isu tuntutan ke atas Sabah kerana kedudukannya dalam Malaysia diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kita mahu kerajaan Persekutuan berunding secara ‘goverment to government’, jelaskan kepada Filipina bahawa referendum Suruhanjaya Cobbold pada 1963 membuktikan rakyat Sabah memilih Malaysia.
“Jadi tidak timbul lagi soal tuntutan terhadap Sabah. Isu itu harus dipadam sama sekali,” katanya pada sidang media mengenai provokasi Filipina yang dikaitkan dengan tuntutannya ke atas Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd Shafie berkata isu tuntutan Filipina berpanjangan berikutan kegagalan kerajaan Pusat menamatkan isu itu secara konkrit sebelum ini.

Malah, katanya isu itu sering ditimbulkan terutama apabila menjelang pilihan raya kerana ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjadikannya agenda politik.

“Isu ini tidak sepatutnya dijadikan agenda politik kerana ia adalah agenda negara yang harus ditangani secara berkesan bagi menjamin kedaulatan,” katanya.

Jelas Mohd Shafie, isu tuntuan ke atas Sabah sepatutnya ditamatkan sejak 1960-an lagi berdasarkan pengiktirafan PBB dan ia harus dihormati negara rantau Asean, termasuk Filipina.

Tegasnya, Filipina tidak boleh dibiarkan terus menganggap isu itu sebagai perkara kecil kerana ia membabitkan soal kedaulatan dan hubungan antara negara.

Sebelum ini, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina dilapor membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam pasport negara itu.

Tindakan itu dianggap satu bentuk provokasi Manila berhubung tuntutannya terhadap Sabah.

Turut tular peta Sabah tertera bendera Filipina yang dikatakan sebagai wilayah ke-14 negara itu dengan nama setiap kawasan disebut dalam bahasa Filipina.