Najib gagal ketepikan Sri Ram

0
3

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal dalam cubaannya untuk mengenepikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa raya utama dalam prosiding kes berkaitan dengan penyelewengan dana 1MDB.

Memetik laporan Malaysiakini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakimannya semasa prosiding petang ini.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan hari ini untuk membuat keputusan berhubung permohonan yang menamakan bekas hakim mahkamah persekutuan Sri Ram, peguam negara dan kerajaan sebagai responden.

Sri Ram adalah timbalan pendakwa raya utama bagi kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion dan kes pindaan laporan audit 1MDB.

Pada 29 Jun lalu, Najib  dan peguam mewakilinya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menggunakan afidavit sokongan oleh bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam permohonan semakan kehakiman mereka untuk mencabar pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes mereka.

Dalam afidavit itu, Mohamed Apandi mendakwa Sri Ram cuba meyakinkan beliau untuk menahan Najib yang ketika itu perdana menteri berhubung skandal 1MDB.

Najib menggunakan afidavit sama dalam permohonannya untuk melucutkan kelayakan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes laporan audit 1MDB dihadapinya dan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 7 Ogos untuk mendengar permohonan itu.

Muhammad Shafee, yang mewakili Najib, memberitahu pemberita, pihaknya telah menyerahkan notis untuk menggunakan afidavit itu kepada responden.- Malaysiapost