Covid-19: KKM kesan 10 kes baharu hari ini

0
4

Fitri Nizam

[Covid-19] KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 10 kes baharu Covid-19 hari ini membabitkan lapan kes import.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata lapan kes import itu mendapat jangkitan di luar negara dan seorang daripadanya adalah warganegara.

“Jangkitan import itu membabitkan negara India iaitu lima kes di Kuala Lumpur dan dua di Selangor, manakala satu kes di Sarawak adalah jangkitan dari Filipina.

“Dua kes penularan di dalam negara adalah masing-masing satu kes membabitkan warga Malaysia iaitu di Kedah dan satu kes bukan warganegara di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagi kes bukan warganegara, ia dikesan melalui saringan tahanan kerana mangsa adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini terdapat lapan kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan enam daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, hari ini juga tiada pertambahan kematian berkaitan Covid-19 dan jumlah kumulatif kematian adalah kekal 125 kes atau 1.34 peratus.