MESKIPUN kerajaan membenarkan peniaga kecil terus beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, namun kerajaan masih perlu membantu golongan ini yang sememangnya terkesan.
Ketua Wira Putra Perlis, Mohd Adib Ehsan Hashim menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi perhatian kepada peniaga kecil dengan menyalurkan bantuan khas dan pemberian moratorium kepada mereka.
Katanya, pendapatan peniaga kecil terjejas susulan penguatkuasaan tempoh operasi berniaga dari jam 8 pagi hingga 8 malam.
“Persoalannya, adakah dengan mengubah masa perniagaan itu dapat membantu golongan peniaga terutama peniaga kecil yang kita tahu sebelum ini mereka sudah pun terbeban dengan kesan PKP dan Covid-19 ini?
“Kita kena faham bahawa para peniaga ini ada komitmen lain yang terpaksa ditanggung apatah lagi mereka yang kehilangan kerja akibat PKP terdahulu terpaksa berniaga kecil-kecilan untuk menampung kos hidup.
“Buat masa terdekat ini kami juga menggesa kerajaan segerakan bantuan untuk peniaga-peniaga kecil dan berikan moratorium sehingga setahun bagi membantu golongan terjejas ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Adib berkata, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan mengumumkan PKP 3.0 dalam memerangi Covid-19, namun menyarankan kerajaan memperhalusi pelaksanaan itu agar dapat membela nasib peniaga kecil yang terjejas.
“Kita mudah untuk katakan pelanggan boleh beli awal, tapi adakah itu akan berlaku?
“Jika kita fikir dari sudut logiknya, waktu yang dibenarkan peniaga mengoperasikan perniagaan mereka dari jam 8 pagi hingga 8 malam amat tidak membantu sesetengah peniaga terutama yang menjual makanan.
“Bayangkan sekiranya seseorang itu meniaga burger atau apa saja makanan yang menjadi santapan pada waktu malam, jam berapa dia mahu membuka perniagaannya?,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini sudah banyak keluhan daripada peniaga ketika pelaksanaan PKP 2.0 kerana waktu kebenaran operasi tidak berbaloi bagi mereka yang menjual makanan malam.
“Lama kelamaan mahukah kerajaan melihat mereka ini gulung tikar? Janganlah kerajaan ibarat membiarkan mereka jatuh ditimpa tangga.
“Paling memilukan pengumuman yang dibuat baru ini juga seolah-olah dibuat secara ‘kelam kabut’ tanpa memikirkan kesan kepada peniaga.
“Saya menggesa kerajaan lebih rasional dalam menentukan hala tuju membendung wabak covid ini,” katanya. – Malaysiapost

