Malaysia tunggu Arab Saudi umum mengenai ibadah haji

0
2

MALAYSIA masih menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan jumlah kuota jemaah haji negara untuk musim haji pada kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH) masih menunggu keputusan rasmi itu membabitkan kuota, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksananaan ibadah gaji musim ini.

Menurutnya, kerajaan akan akur dengan apa jua keputusan berkenaan mengerjakan ibadah haji dan kuota haji negara daripada Arab Saudi kelak.

“Marilah sama-sama kita berdoa agar urusan bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dipermudahkan Allah SWT.

“Kerajaan Malaysia akan mengumumkan keputusannya kepada bakal jemaah haji sejurus selepas mendapat kenyataan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi,” kata beliau dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, TH bagaimanapun sedang giat membuat persediaan operasi di tanah air dan Tanah Suci bagi memastikan kelancaran urusan bakal haji Malaysia tahun ini.

“Bagi operasi haji tanah air, persiapan awal diperkukuhkan dengan mengambil kira amalan norma baharu di stesen berlepas semasa bakal haji melapor diri.

“Manakala di Tanah Suci, persiapan telah dilakukan di Makkah dan Madinah dari segi penginapan, pengangkutan, penerbangan, sajian makan dan sebagainya,” katanya.

Zulkifli berkata, TH turut mengadakan beberapa siri mesyuarat dan bengkel secara berkala dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi persediaan kesihatan dan keselamatan jemaah haji.

Menurutnya, bermula Mac lalu, TH menyarankan bakal jemaah haji mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau laman sesawang www.vaksincovid.gov.my bagi memenuhi prasyarat wajib ditetapkan Arab Saudi iaitu pengambilan vaksin Covid-19, selain suntikan wajib vaksin meningococcal.

“Saya ingin menasihatkan bakal jemaah haji untuk bersabar dan membuat persiapan dari sudut ilmu, fizikal dan spiritual dan semestinya mendaftar untuk vaksin Covid-19 agar pelaksanaan ibadah haji kelak berjalan lancar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here