BANTUAN khas RM1,000 akan diberikan kepada 213 mangsa yang terlibat dalam insiden kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, malam tadi.
Pengerusi Prasarana Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata pihaknya juga menanggung kos perubatan mangsa yang menerima rawatan di hospital.
Katanya, mangsa yang kehilangan kerja akibat insiden itu turut akan diberi bantuan kewangan sewajarnya.
“Prasarana dukacita dengan kejadian ini dan mengambil tanggungjawab penuh untuk membantu mangsa terbabit.
“Bantuan khas, kos rawatan dan pembayaran pampasan akan diberikan dalam masa terdekat kepada mangsa,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat lokasi tren LRT bertembung dalam terowong berhampiran KLCC, hari ini
Dalam pada itu, Tajuddin turut memaklumkan, pihaknya juga akan memberi jaminan akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) perkhidmatan LRT.
Mengulas lanjut, Tajuddin berkata mengikut maklumat terkini, enam penumpang kritikal dengan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan di HKL.
“Seramai 15 lagi penumpang masih dirawat di HKL namun dilaporkan stabil. Dalam kejadian semalam, seramai 64 penumpang cedera dikejarkan ke HKL dan ada antara mereka sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Prasarana akan mengambil masa tiga hari untuk mengalihkan tren terbabit dalam kemalangan semalam dan pihaknya bersama Kementerian Pengangkutan sedang giat menjalankan siasatan dan ia dijangka lengkap dalam tempoh dua minggu.
“Setakat ini perkhidmatan LRT berjalan seperti biasa, namun Prasarana menyediakan bas pengantara pada waktu puncak bagi mengurangkan kesesakan di stesen berdekatan.
“Prasarana memberi jaminan perkhidmatan yang terbaik kepada penumpang dan sentiasa meningkatkan perkhidmatan,” katanya.
Dalam kejadian pada jam 8.45 malam tadi, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya parah akibat pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya malam tadi.
Insiden berkenaan berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru melibatkan satu tren yang membawa penumpang serta sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.
Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut. – Malaysiapost

