Insiden tren LRT: MOT tubuh jawatankuasa siasatan

0
2

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan untuk menyiasat punca insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya bertembung berdekatan Stesen LRT KLCC, malam tadi.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata jawatankuasa berkenaan akan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak selain pasukan dalam MOT serta agensi di bawahnya.

Katanya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pula akan menyediakan laporan teknikal siasatan berhubung insiden berkenaan.

“Setakat ini siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 8.33 malam melibatkan LRT Laluan Kelana Jaya.

“Ia membabitkan sebuah tren tidak membawa penumpang manakala sebuah lagi membawa 232 orang penumpang. Seramai 213 orang penumpang mengalami kecederaan dan 166 cedera ringan.

“Manakala 47 orang penumpang yang mengalami kecederaan bukan ringan dikejarkan ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, tengah malam tadi.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, hasil siasatan secara menyeluruh dan terperinci akan diumumkan kelak serta meminta semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung kejadian berkenaan.

“Sekali lagi saya melahirkan rasa simpati terhadap semua mangsa yang terlibat. Semoga mereka yang tercedera segera sembuh dan saya juga akan pastikan bantuan sewajarnya akan diberikan,” katanya.

Terdahulu dalam sidang medianya malam tadi, Ka Siong berkata, MOT menjangkakan dalam tempoh dua minggu hasil siasatan oleh pasukan khas itu akan dikemukakan kepada kementerian itu.

“Dalam tempoh dua minggu kami akan kenal past punca kejadian sama ada disebabkan kesilapan dari segi sistem signalling (isyarat) atau masalah komunikasi atau kesilapan manusia,” katanya.

Beliau berkata, insiden pertembungan itu disifatkan serius dan ia kejadian yang pertama berlaku melibatkan tren LRT sepanjang 23 tahun tempoh pengoperasian kenderaan pengangkutan awam itu di negara ini.

“Impak pelanggaran juga besar, berikutan tren yang membawa penumpang bergerak dengan kelajuan 40 kilometer sejam (km/j), manakala tren tanpa penumpang dengan kelajuan 20km/j.

“Kejadian ini satu iktibar buat semua pihak dan kita harus pastikan faktor keselamatan perkhidmatan pengangkutan awam perlu dititikberatkan,” katanya.

Dalam kejadian malam tadi, dua tren LRT Laluan Kelana Jaya bertembung mengakibatkan beberapa penumpang mengalami kecederaan kira-kira jam 9.15 malam

Prasarana menerusi kenyataan memaklumkan bahawa kemalangan melibatkan tren bernombor 40 dan 81. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/24/penumpang-cedera-dua-tren-lrt-kemalangan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here