Pemeriksaan sekatan jalan raya lebih teliti esok – polis

0
2

POLIS Kuala Lumpur akan melakukan pemeriksaan lebih teliti di 13 sekatan jalan raya (SJR) sekitar ibu negara dan Putrajaya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat bermula esok.

Antaranya ialah di Jalan Sentul Pasar, di hadapan Balai Polis Kepong, Lebuhraya Persekutuan menghala ibu negara, Jalan Klang Lama, Jalan 2/27A Wangsa Melawati dan Jalan 1/91 Taman Shamelin Perkasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata setakat ini, sekatan sedia ada tidak akan ditambah berikutan pelaksanaan berkenaan.

“Jumlah sekatan jalan raya kekal sembilan lokasi di Kuala Lumpur dan empat di Putrajaya, namun kami akan melakukan pemeriksaan teliti di setiap sekatan selaras arahan baharu memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) PKP.

“Sebelum ini, kami memberi kelonggaran dan pemeriksaan mungkin tidak begitu ketat, tetapi kali ini pemeriksaan dilakukan dengan teliti termasuk memastikan individu diperiksa mempunyai surat kebenaran,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan keputusan mengetatkan SOP PKP dengan kebanyakan aktiviti perniagaan hanya dibenarkan beroperasi jam 8 pagi hingga 8 malam mulai esok, selain pemeriksaan SJR lebih ketat.

Mengulas dua lokasi di Kuala Lumpur iaitu Kampung Batu Muda Tambahan dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau dekat Lembah Pantai dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Azmi berkata, pihaknya akan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) daripada aspek keselamatan.

“Polis juga akan bantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung isu agihan keperluan makanan kepada penduduk.

“Kami berharap warga Kuala Lumpur mengambil berat pematuhan SOP supaya tiada lagi kawasan dalam ibu negara dikenakan PKPD,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here