RAYUAN anak bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, terhadap sabitan dan hukuman penjara lapan bulan atas kesalahan penyalahgunaan dadah akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 29 Julai ini.
Peguam Nasar Khan yang mewakili Ahmad Saiful Islam selaku perayu, berkata rayuan itu akan didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
“Mahkamah memerintahkan pihak kami dan pendakwaan selaku responden dalam kes ini memfailkan hujahan masing-masing sebelum tarikh pendengaran,” katanya memetik laporan Bernama, hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah mengesahkan perkara itu.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di ibu negara pada jam 2.05 pagi, 5 Januari 2019.
Berdasarkan notis rayuan difailkan pada 2 Julai 2020, Ahmad Saiful merayu terhadap keputusan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim pada 24 Jun yang mensabitkan perayu dengan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menghukumnya dengan penjara selama lapan bulan.
Mohamad Aizat menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Saiful, 33, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah juga mengarahkannya menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus menjalani hukuman penjara itu.
Dia diperintah menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh keputusan.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Dia diperintahkan membayar wang jaminan RM9,000 serta menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan. – Malaysiapost

