Setiap kementerian mesti main peranan, tak wajar salahkan Ismail Sabri

0
2
Ismail Sabri

Najamuddin Mohd Nor

SETIAP kementerian mesti memainkan peranan memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat dikuatkuasakan.

Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata usaha negara memerangi Covid-19 tidak akan berjaya jika tiada kerjasama dan komitmen jitu setiap kementerian dalam memastikan rakyat patuh kepada SOP.

“Mustahil untuk MKN sahaja yang memastikan tanggungjawab pematuhan SOP PKP di seluruh negara.

“Setiap kementerian mesti bertanggungjawab memastikan pelaksanaan SOP, kena berganding bahu bersama MKN memastikan segala SOP ini dilaksanakan dan dipatuhi rakyat.

“Memang MKN bertanggungjawab menentukan SOP dan operasi penguatkuasaannya, tetapi tiada gunanya jika ada pihak tertentu memandang ringan perkara ini, ia tidak membantu negara dan MKN tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Beliau mengulas susulan kritikan terhadap MKN berikutan sebuah kasino di Genting Highlands masih beroperasi ketika PKP berlangsung.

Malah, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri menjadi sasaran kritikan sesetengah pihak berhubung isu tersebut sedangkan ia terletak di bawah kuasa Kementerian Kewangan.

Mengulas lanjut, Dr Achmad Dzariean berkata, Ismail Sabri tidak wajar dipersalahkan kerana pengoperasian sebuah kasino di pusat pelancongan negara bukan terletak di bawah bidang tugas utama beliau.

Katanya, Ismail Sabri bukanlah menteri yang diamanah untuk memantau aktiviti kasino, sebaliknya beliau hanya menjadi jurucakap kepada keputusan yang dicapai MKN.

“Kalau kita lihatkan pembukaan kasino itu bukan di bawah tugas beliau, kerana bidang tugas Ismail Sabri selaku menteri penyelaras pertahanan dan keselamatan lebih kepada aktiviti penguatkuasaan.

“Beliau bukan menjaga semua perkara dan tidak wajar kesalahan itu diletakkan di bawah tanggungjawab beliau. Memang bidang tugasnya amat luas dan besar, jadi mengambil tanggungjawab ini bukan sesuatu yang mudah.

“Ini satu cabaran kepada beliau kerana dalam masa yang sama berhadapan beberapa portfolio di bawah tanggungjawabnya. Jadi untuk menyalahkan berkaitan ketidaktahuan operasi kasino itu adalah perkara rumit dan leceh.

“Jadi tindakan segera beliau mengarahkan kasino itu ditutup serta-merta adalah wajar kerana selaku Menteri Kanan Keselamatan itu tanggungjawab beliau memastikan penguatkuasaan SOP MKN dipatuhi,” katanya.

Untuk info, aktiviti kasino adalah di bawah bidang Kementerian Kewangan dan Genting Highlands adalah kawasan pelancongan terkemuka di bawah tanggungjawab Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Terdahulu, isu tercetus apabila Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 16 daripada 28 pelancong dari Alor Setar yang mengunjungi Genting Highlands positif Covid-19 pada 7 Mei lalu.

Mereka menaiki dua bas dalam perjalanan dari 22 April hingga 24 April, yang diatur oleh syarikat pelancongan berdaftar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here