[Dunia] PERDANA Menteri Jepun, Shinzo Abe dijangka mengumumkan peletakan jawatan susulan masalah kesihatan dialaminya bagi mengelak lebih banyak masalah.
Perkara itu dilaporkan media tempatan sebelum Abe dijadualkan mengadakan sidang media.
“Abe mahu meletakkan jawatan kerana keadaan kesihatannya semakin buruk dan beliau bimbang ia akan mencetuskan lebih banyak masalah,” kata stesen penyiaran rasmi, NHK tanpa memetik sebarang sumber.
Spekulasi itu muncul selepas keadaan kesihatan Abe kerap diperkatakan kebelakangan ini, tetapi menjadi semakin hangat apabila beliau membuat dua pemeriksaan berbeza ke hospital sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang pengesahan berhubung laporan itu.
Jika laporan itu sahih, ia akan menjadi peletakan jawatan yang kedua Abe, selepas kali pertama berbuat demikian pada 2007, juga atas faktor kesihatan.
Beliau sebelum ini didiagnos dengan ulcerative colitis, yang disifatkannya berada dalam keadaan terkawal, selepas menerima rawatan.

