HAMPIR 10,000 penduduk Kelantan, sebahagian besar berusia 60 tahun ke atas gagal hadir menerima suntikan vaksin Covid-19 sehingga semalam.
Perkara itu didedahkan Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin yang memaklumkan antara puncanya ialah masalah kesihatan selain menunda tarikh suntikan.
Selain itu katanya, ada juga gagal hadir kerana mempunyai masalah peribadi selain tidak memberi sebarang alasan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Semua yang tidak hadir mendapat suntikan vaksin adalah mereka yang berdaftar bagi fasa kedua.
“Apabila kita mendapat senarai sehari atau dua hari sebelum janji temu, kita akan menghubungi setiap individu untuk mengenal pasti sama ada mereka boleh hadir atau tidak pada masa ditetapkan.
“Bagaimanapun, bukan semua dapat dihubungi kerana terlalu ramai yang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.
“Ada juga dalam kalangan mereka yang tidak menjawab panggilan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, mereka yang mahu menunda tarikh atau mengubah lokasi PPV perlu menghubungi hotline MySejahtera.
Katanya lagi, pihaknya akan menghubungi individu lain bagi menggantikan mereka yang tidak dapat hadir pada tarikh asal janji temu sebagai langkah mengelak pembaziran bekalan vaksin.
“Setakat ini, PPV dibuka di Kota Bharu, Pasir Puteh, Jeli, Machang, Kuala Krai dan Bachok.
“Sehingga semalam, lebih 340,000 individu mendaftar melalui MySejahtera tetapi angka itu dilihat masih rendah,” katanya. – Malaysiapost

