DBKL selamatkan 133 gelandangan, termasuk 12 warga asing

0
2

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyelamatkan 133 orang gelandangan di sekitar ibu negara dalam operasi bersepadu bersama pelbagai agensi lain yang bermula lewat malam tadi.

Operasi bermula jam 11 malam hingga awal pagi tadi itu dilaksanakan ketika prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang akan mula diperketatkan mulai esok.

Menurut DBKL menerusi kenyataan hari ini, semua gelandangan diselamatkan di kawasan Brickfields, KL Sentral, Masjid Negara, Dataran Merdeka, Jln Raja Laut, Jalan TAR, Maju Junction, Masjid India, Masjid Jamek, Cahaya Suria, Bangkok Bank dan di sekitar Hentian Bas Klang.

Difahamkan, operasi tersebut antara lain bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19 khususnya melibatkan golongan itu.

Mereka yang diselamatkan terdiri 111 lelaki warganegara dan 10 wanita tempatan selain 12 warga asing.

“Tindakan proaktif DBKL dan agensi ini diharap membantu mengawal penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan gelandangan di samping membantu untuk memulihkan tatacara kehidupan mereka,” kata DBKL.

Operasi dibantu polis, Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Kebajikan Negara dan jabatan dalam DBKL melibatkan keseluruhan 125 pegawai dan anggota. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here