PELAKSANAAN ujian saringan Covid-19 percuma di Selangor membolehkan kes positif wabak itu dikesan lebih awal, kata Datuk Seri Amirudin Shari.
Menteri Besar Selangor itu berkata ia sekali gus dapat mengelak ‘silent carrier’ atau pembawa senyap untuk memutuskan rantaian perebakan Covid-19.
“Kerajaan Negeri proaktif menjalankan saringan Covid-19 secara percuma di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata pelaksanaan ujian saringan percuma di Selangor antara penyumbang kepada jumlah kes positif yang tinggi di negeri itu.
Setakat kelmarin, seramai 29,239 individu telah hadiri Program Saringan Covid-19 oleh kerajaan Selangor dengan 1,494 individu disyaki positif.
Kerajaan Selangor kini giat melaksanakan program pengawasan Covid-19 secara aktif yang memanfaatkan rakyat berisiko, kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.
Saringan dilakukan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) yang membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit. – Malaysiapost

