Polis buru wanita sebar berita palsu kematian pemanah negara

0
1

POLIS sedang mengesan seorang wanita dipercayai menyebarkan berita palsu mengenai kematian pemanah negara Allahyarham Haziq Kamarudin yang kononnya berpunca dari saluran darah tersumbat akibat pengambilan vaksin AstraZeneca.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata pihaknya menerima satu laporan polis berkenaan rakaman video yang didakwa memaparkan berita palsu mengenai vaksin AstraZeneca melibatkan kematian kepada pemanah negara.

Menurutnya, video berkenaan memaparkan tuduhan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai punca kematian Allahyarham Haziq disebabkan vaksin berkenaan dan menyembunyikan punca sebenar kematian.

“Laporan dibuat oleh seorang pelajar wanita yang telah melihat rakaman tersebut dan terpanggil untuk membuat laporan polis.

“Rakaman video berdurasi tiga minit 34 saat yang di muatnaik dalam status WhatsApp milik penama Aqila Yusri.

“Rakaman yang sama juga telah dimuat naik dalam Instagram @agilayusri (http//:www.instagram.com/aqilayusri),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, penelitian terhadap video berkenaan mendapati seorang wanita menyatakan kematian Allahyarham Haziq adalah berpunca daripada saluran darah tersumbat berpunca dari vaksin AstraZeneca dan KKM melaporkan jumlah kes positif adalah tidak tepat

“Polis sedang mengesan suspek yang terlibat dalam rakaman video tersebut dan kes di siasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.

“Orang ramai diseru tidak sewenang-wenang mengulas atau menularkan sebarang maklumat yang tidak sahih. Tindakan ini boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat amnya,” katanya.

Pada 14 Mei lalu, pemanah senior yang juga Olimpian negara, Haziq Kamaruddin, 27, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kajang dan perkara itu disahkan rakan sepasukannya Zulfadhli Ruslan menerusi Facebook, pada hari kejadian.

Allahyarham yang berasal dari Johor Bahru dan sudah berkeluarga, pernah mewakili negara dalam dua temasya Sukan Olimpik iaitu London 2012 dan Rio 2016.

Beliau juga banyak mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa dengan meraih pingat emas pada Kejohanan Memanah Asia 2011 di Tehran, Sukan SEA 2015 di Singapura dan Sukan SEA 2017 di Malaysia. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/14/pemanah-negara-haziq-kamaruddin-meninggal-dunia/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here