LIMA samseng jalan raya diberkas polis selepas dikesan melakukan aksi ‘superman’ serta menunggang dengan cara merbahaya di Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH) pada malam minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata tangkapan itu hasil pemantauan Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur yang diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmood pada Sabtu lalu.
“Lima individu berusia antara 17 hingga 27 tahun berjaya ditahan ketika sedang melakukan aksi Superman serta menunggang motosikal dengan cara merbahaya.
“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurutnya, operasi pemantauan aktiviti samseng jalan raya itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dan mengalu-alukan maklumat orang ramai mengenai kegiatan itu.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

