
KERAJAAN terutama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa meninjau keadaan sekolah pedalaman sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan bagi mengenalpasti keperluan murid terutama pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata keadaan sekolah pedalaman adalah jauh beza dengan sekolah luar Bandar dan sudah pasti terdapat pelbagai kekangan untuk PdPR.
“Masalah sekolah pedalaman ialah internet, liputan telefon, bekalan elektrik, air bersih dan pengangkutan.
“Keadaan fizikal sekolah pedalaman juga dhaif seperti asrama, rumah guru, perpustakaan dan makmal komputer.
“Soalnya, apakah PdPR mengambil kira semua masalah tersebut. Kalau guru dan pakar turut mengkritik PdPR, sudah tentu sukar dilaksana di pedalaman kerana kekangan logistik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, sebab itu amat wajar kalau Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin turun melawat sekolah pedalaman untuk melihat sendiri keadaan di sekolah berkenaan dan tidak hanya menumpukan bantuan di bandar sahaja.
Katanya, mengikut data 2018, terdapat lebih kurang 832 sekolah pedalaman di Malaysia dan 372 adalah sekolah Pedalaman dan beliau sempat melawat 202 sekolah pedalaman dari 2009-2014.
“Dulu, masa Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) jadi Menteri Pelajaran telah dilancarkan pelan transformasi pendidikan sekolah pedalaman di Paitan Beluran Sabah (18 April 2013).
“Berilah nafas baru kepada pelan tersebut. Semasa Barisan Nasional (BN), peruntukan RM2 bilion diberikan untuk sekolah pedalaman. RM1 bilion untuk Sabah dan RM1 bilion Sarawak (Bejet 2018),” katanya.
Menurutnya, adalah amat wajar KPM mewujudkan bahagian baru iaitu Bahagian Pendidikan Sekolah Pedalaman untuk menangani isu pengajaran dan pembelajaran rakyat di pedalaman.
“Keadilan pendidikan mudah tercapai jika sekolah pendalaman menerima pendidikan sama kualiti dengan sekolah di bandar.
“Radzi Jidin perlu turun ke bawah. 832 buah sekolah pedalaman bukan sedikit,” katanya. – Malaysiapost
