PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara peribadi mahu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya dilaksanakan, namun kesan penutupan tersebut terhadap ekonomi amat besar.
Menurutnya, kerajaan rugi RM24 bilion sehari dan peniaga tidak boleh berniaga dan ekonomi negara hampir lumpuh.
“Kalau tanya saya secara peribadi, PKP sepenuhnya memang terbaik dan terjamin selamat dan mudah kerajaan dan KKM menguruskan tapi kesan penutupan kepada ekonomi amat besar sekali.
“Kita kerugian RM24 bilion setiap hari. Bayangkan berapa kita rugi untuk sebulan cuba darabkan berapa.
“Kalau kita nak buat sekali lagi PKP 1.0, RM340 bilion tak cukup, pasal ia akan terkesan lebih besar lagi. Mungkin kita akan guna setengah trilion untuk buat sekali lagi PKP 1.0 . Kita ada duit ke setengah trilion,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada program Bicara Khas eksklusif di RTM, malam ini.
Perdana Menteri berkata, Malaysia berada pada landasan yang tepat dalam perancangan dan pengurusan ekonomi ke arah pertumbuhan yang lebih kukuh dan mampan dan ia mula menampakkan kesan positif.
“Perancangan kita sudah pun memperlihatkan kesannya. Satu…mungkin Covid-19 tak selesai, tapi ekonomi kita sudah ada petanda peningkatan. Eksport kita meningkat, import kita meningkat, jumlah pekerja yang kita ambil mencecah 150,000 lebih daripada jadual 120,000 orang.
“Unjuran badan antarabangsa, pakar kita dan bank negara (pula)…kita akan lihat pertumbuhan 6.5 ke 7.0 peratus tahun ini. Ada masa empat ke tujuh bulan untuk lihat ia tercapai,” katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan telah berusaha untuk mengimbangi di antara kepentingan kesihatan awam dan keperluan pertumbuhan ekonomi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, sama seperti PKP 2.0 yang mana kesan terhadap pertumbuhan dijangka kurang teruk, berikutan kebanyakan sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi.
“Kita dah mulakan awal, tahun lalu pun dah mulakan. Langkah kita buat PKP tak tutup semua kerana memikirkan ke hadapan.
“Kalau fikir hari ini memang nak tutup semua. Tapi kita jaga kehidupan, masa depan rakyat, pendapatan mereka, kerja mereka,” jelas beliau. – Malaysiapost

