SOP: Tiada amalan dua darjat

0
2

PERDANA MENTERI, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tiada amalan dua darjat atau ‘double standard’ dalam melaksanakan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

Beliau berkata, tiada pihak yang akan terlepas daripada undang-undang termasuk menteri atau orang kenamaan yang turut disebut sebagai golongan kayangan.

“Dasar kerajaan kita tidak ada ‘double standard’, kalau mereka langgar, maka mereka tidak akan terlepas.

“Kerajaan tidak kira siapa. Menteri ke Perdana Menteri, siapa yang melanggar (SOP) dan memang nyata ada bukti-bukti ikut undang-undang, maka mereka tidak akan terlepas daripada dikenakan hukuman, kompaun, charge (pendakwaan) dan sebagainya.

“Kalau ada orang buat kesalahan, kita (kerajaan) hendak ambil tindakan untuk dia dikenakan hukuman. Macam kes-kes sekarang. Selebriti ke, siapa ke.
Saya tak nak sebut nama, ia mesti bersandar undang-undang,” katanya dalam program Bicara Khas eksklusif di RTM, hari ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan, SOP berubah-ubah kerana bergantung situasi keadaan Covid-19 itu yang sentiasa berubah.

“Kita tidaklah statik (mengenai SOP PKP). Dinamik, ikut keadaan situasi yang memerlukan kita membuat adjustment (penyesuaian) untuk menangani situasi yang berbeza-beza. Contoh (sebelum ini) dibenarkan restoran menerima pelanggan masuk makan, kemudian tidak boleh pula.

“Saya minta maaf kalau ada yang agak keliru. Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menentukan (SOP) itu. Bukan dibuat sendiri. Ia melalui rundingan. SOP tidak dibuat oleh MKN sewenang-wenang,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau memahami rungutan rakyat yang melihat seolah-olah SOP berubah-ubah, namun ia disebabkan situasi keadaan Covid-19 itu sendiri yang berubah.

Perdana Menteri menegaskan, pelaksanaan SOP diputuskan dalam mesyuarat yang turut dihadiri Peguam Negara bersama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, untuk meneliti SOP berkenaan yang kemudiannya akan diwartakan sebelum dikuatkuasa dan diumumkan supaya semua pihak mengetahuinya.

“Kalau tidak faham juga boleh tanya dan kita sudah minta menteri-menteri untuk beri penjelasan, pegawai-pegawai beri penjelasan. Pemimpin komuniti yang ada program pemerkasaan pun sudah diberi penerangan supaya mereka bantu menjelaskan situasi dan keadaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here