Covid-19: DAP desak PM reset kerajaan

0
3

‘RESET’ kerajaan diperlukan segera untuk membantu rakyat yang semakin tertekan berikutan pandemik Covid-19 sejak setahun lalu, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal menangani tiga isu utama iaitu penghantaran awal bekalan vaksin, pakej rangsangan ekonomi untuk menghidupkan semula ekonomi dan bantuan kewangan untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan, serta penguatkuasaan berkesan terhadap sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar.

“Apa yang sangat diperlukan oleh rakyat adalah vaksin dan bantuan kewangan.

“Perlu ada ‘reset’ dalam pentadbiran kerajaan dan penyampaian perkhidmatan untuk memastikan penghantaran awal bekalan vaksin dan bantuan kewangan yang sampai kepada rakyat.

“Rakyat mula hilang arah tuju dan kekurangan kepemimpinan berikutan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri bahawa PKP yang diperketat akan dilaksanakan di Semenanjung dan Labuan mulai 25 Mei hingga 7 Jun ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu juga mempertikaikan peruntukan bajet yang digunakan untuk memerangi Covid-19 seperti tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk rakyat.

“Sebanyak RM627 bilion telah dibelanjakan sejak tahun lalu untuk memerangi Covid-19 dan mengeluarkan ekonomi dari kemelesetan, yang sama sekali tidak berkesan dan gagal sepenuhnya.

Rakyat bertanya mengapa mereka tidak dapat merasakan manfaat RM627 bilion atau hampir RM21,000 untuk setiap 30 juta warganegara Malaysia.

“Lebih buruk lagi apabila penghantaran salah satu bahagian utama bekalan vaksin ditangguhkan dari Jun kepada Julai.

“Reset ini adalah peluang bagi Muhyiddin menunjukkan kepemimpinan, mengambil tanggungjawab untuk salah urus krisis kesihatan awam, memberikan arah tuju kepada negara dan berhenti menyerahkan tugas kepada Menteri-Menteri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here