Que Haidar muak baca komen gelar artis sebagai ‘kayangan’

0
2

KES pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) melibatkan artis atau turut disebut sebagai ‘kayangan’ bukan saja menimbulkan rasa menyampah netizen, malah memualkan golongan artis lain.

Cerita pelanggaran SOP oleh artis tertentu secara berulang-kali turut mendapat perhatian pelakon Que Haidar yang menulis catatan panjang lebar di Twitternya hari ini.

“Bersukat sama paras, bertimbang sama berat. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.

SOP adalah untuk semua. Golongan “kayangan” ni pada saya tak sepatutnya ada dan tak seharusnya wujud. Perasaan menganggap kita ni “kayangan” patut dihentikan. Pada saya kita ni semua sama.

“Lebih-lebih lagi dalam menangani Virus Covid-19. Tak sepatutnya timbul isu langgar SOP. Tak mematuhi arahan/saranan kerajaan demi kepentingan diri sendiri,” ciapnya.

Pemilik nama sebenar Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar itu berkata golongan artis harus menjadi contoh kerana ada banyak mata yang memandang apa saja yang mereka lakukan.

Beliau menambah, apa salahnya jika menggunakan platform media sosial yang mempunyai ribuan, malah jutaan pengikut untuk sebarkan perkara yang baik kerana ‘semakin besar periuk, semakin besar keraknya’.

“Semakin besar nama kita, semakin besar tanggungjawabnya. Mungkin ramai yang tidak sedar tentang akibat perlakuan kita akan memberi kesan pada yang lain.

“Mungkin ada kalangan mereka yang betul-betul ada kecemasan yang memerlukan untuk merentas negeri/daerah tetapi disebabkan perlakuan kita mereka tidak dapat merentas negeri\daerah.

“Atau timbul ketidak puasan hati dalam kalangan masyarakat membuat mereka juga ingin melanggar SOP,” katanya.

Pelakon yang membuat penampilan pertama di layar perak menerusi filem KL Menjerit 1 pada 2005 itu mengakui agak muak membaca banyak komen menggelar golongan artis sebagai kayangan sehingga boleh terlepas dari mengikut SOP, terlepas hukuman atau sebagainya.

“Ada juga yang menggelar golongan artis ni bodoh. Tapi itulah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

“Marilah sama-sama kita patuhi SOP, jaga diri kita dan keluarga. Jadikan pengajaran dengan apa yang telah berlaku.

“Jangan diulang-ulang kesilapan kita yang boleh mendatangkan rasa marah & benci orang ramai. Tepuk dada, tanya selera,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: the_haidars/IG

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here