BEKALAN darah di Sabah kini mencapai tahap kritikal, berpunca kekangan melakukan kempen derma darah akibat penularan Covid-19.
Presiden Persatuan Penderma Darah Sabah (Pendarah) Alix Sunggin berkata, ini berikutan beberapa kempen menderma darah yang dirancang antaranya oleh badan berkanun kerajaan dan badan bukan kerajaan, terutama di kawasan awam, terpaksa ditangguhkan atas sebab keselamatan akibat penularan pandemik itu.
“Pihak hospital terpaksa menghubungi penderma supaya datang ke pusat tabung darah kerana ada antara mereka ragu-ragu keluar rumah disebabkan takut dijangkiti,” katanya baru-baru ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun sebelum ini dilaporkan berkata, akibat penularan Covid-19, bekalan darah di Sabah merosot 20 peratus disebabkan pembatalan lebih 200 kempen derma darah yang membabitkan sasaran awal 6,000 pendermaan.
Alix berkata, pelbagai inisiatif telah dilakukan agar bekalan darah sentiasa mencukupi termasuk menawarkan polisi kesihatan bagi mereka yang menderma darah secara konsisten seperti keutamaan pemberian vaksin Covid-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sebelum ini dilaporkan berkata, penderma darah yang sudah menderma lebih 50 kali akan diletakkan dalam senarai utama menerima suntikan vaksin Covid-19.
Mengulas lanjut, Alix berkata, Pendarah mengambil inisiatif untuk terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menganjurkan kempen derma darah, bukan sahaja di bandar raya Kota Kinabalu, malah di daerah lain termasuk pedalaman. – Malaysiapost

