141 individu kemungkinan positif Covid-19 di dua lokasi saringan

0
2

SERAMAI 141 individu berkemungkinan positif Covid-19 yang dikesan menerusi program Saringan Komuniti di dua lokasi di daerah Petaling di Selangor semalam.

Berdasarkan data dikongsi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di Facebooknya, sebanyak 66 kes atau 2.71 peratus dikesan di Kinrara manakala 75 kes atau 3.03 peratus di Seri Serdang.

“Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara, seramai 2,435 individu menyertai saringan percuma manakala di DUN Seri Serdang, seramai 2,473 individu turut serta.

“Semakin ramai sedar usaha ini adalah untuk putuskan rantaian wabak,” katanya hari ini.

Amirudin berkata saringan di kedua-dua lokasi menunjukkan 97.29 peratus atau 2,369 orang di Kinrara negatif sementara Seri Serdang 96.97 peratus atau 2,398 orang tidak dijangkiti.

Kelmarin, Amirudin dilaporkan berkata sebanyak 1,171 kes dikesan hasil saringan di 14 kawasan sekitar Hulu Langat dan Gombak sejak 8 Mei lalu.

Kerajaan Selangor kini giat melaksanakan program pengawasan Covid-19 secara aktif yang memanfaatkan rakyat berisiko, kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Saringan dilakukan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) yang membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here