Kluster Tok Has, D’Lahar penyumbang terbesar kes Covid-19 di Besut

0
1

KLUSTER Tok Has dan Kluster D’Lahar dikesan sebagai penyumbang terbesar situasi Covid-19 di Besut, Terengganu yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, berkata sebanyak 1,201 kes positif Covid-19 dicatatkan di Besut bermula April hingga Jumaat lalu dengan 14 kematian direkodkan setakat ini.

Menurutnya, semua kes positif itu dikesan hasil ujian sebanyak 16,764 dengan kadar positif lebih tujuh peratus sekali gus menunjukkan jangkitan sudah merebak jauh dalam komuniti dan masih banyak perlu dikesan.

Menurutnya, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1,900 peratus berbanding hanya 60 kes dikesan sepanjang Mac lalu.

“Ini bukan analisis untuk paralisis, tetapi untuk buka hati dan minda situasi di Besut.

“Situasi Covid-19 di Besut disumbangkan dua kluster besar iaitu Kluster Tok Has yang bermula di sebuah kafe merebak ke pusat senaman, bank, beberapa sekolah dan akhirnya masuk ke komuniti sehingga ke Setiu, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

“Kluster ini menghasilkan sebanyak 474 kes positif dan ia masih berkembang pesat.

“Sama seperti Kluster D’ Lahar bermula daripada pekerja sebuah syarikat akhirnya merebak ke dalam komuniti dan menghasilkan 152 kes positif,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, pengeluaran kompaun RM10,000 tidak mencukupi jika dibandingkan dengan impak yang sangat besar akibat kluster berkenaan apatah lagi jika membabitkan kematian warga tua yang tidak bersalah.

Dr Nor Azimi berkata, terdapat dua lagi kluster baharu iaitu Kluster Tok Dor yang membabitkan sebuah pondok pengajian dan Kluster Jalan Tuan Hitam yang membabitkan sebuah pasar raya.

Katanya, Kluster Tok Dor yang merekodkan 32 kes positif, manakala Kluster Jalan Tuan Hitam merekodkan 44 pekerja pasar raya positif.

“Warga Besut kena bersungguh-sungguh untuk menang dengan kekal duduk di rumah, mengehadkan pergerakan, mengelak perkumpulan beramai-ramai dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Benda yang sama saya ulang Dang ulang (ingatkan) kerana ini sahaja (SOP) yang mampu memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Menurutnya, SOP tidak boleh longgar dan setiap individu bertanggungjawab terhadapnya dengan melaksanakan kawalan kendiri.

“Kita tidak mahu kematian demi kematian dilaporkan dari Besut dan ketika ini masih ada lima warga Besut berada di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here