Tawar vaksin tak wujud, wakil syarikat cuba tipu k’jaan Pulau Pinang

0
2

POLIS mendapati tawaran dua juta dos vaksin Covid-19 jenis Sinovac kepada kerajaan Pulau Pinang dibuat oleh wakil sebuah syarikat yang dipercayai cuba menipu dengan menawarkan vaksin tidak wujud.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan, berkata pihaknya menerima laporan pada 19 Mei lalu bersabit kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang menyatakan sumbangan vaksin kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow adalah satu penipuan.

Menurutnya susulan laporan itu, siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang mengikut Seksyen 420 / 511 Kanun Keseksaan dan setakat ini enam laporan diterima daripada beberapa parti politik termasuk Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Siasatan awal mendapati penulis surat yang menawarkan dua juta dos vaksin tersebut bukanlah Pengarah Urusan syarikat Xintai Development Enterprise Ltd sepertimana dinyatakan dalam surat berkenaan.

“Penulis surat itu hanyalah wakil kepada syarikat berkenaan yang dilantik secara lisan sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan masih di peringkat awal di mana beberapa tindakan perlu diambil iaitu merakam percakapan saksi-saksi daripada syarikat berkaitan serta daripada Pejabat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Tindakan untuk menghubungi syarikat berkaitan juga perlu diambil untuk mengesahkan status pendaftaran syarikat berkenaan serta peranan penulis surat tersebut.

“Kertas siasatan akan dihantar ke pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang untuk nasihat dan pandangan setelah semua tindakan siasatan selesai diambil,” katanya.

Pada 18 Mei lalu, Kon Yeow dalam sidang media bersama Setiausaha DAP, Lim Guan Eng mendakwa Kerajaan Persekutuan tidak membenarkan kerajaan negeri Pulau Pinang menerima sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac daripada sebuah syarikat yang ditawarkan pada Februari lalu.

Bagaimanapun Khairy kemudian dalam satu kenyataan mendedahkan tawaran kepada kerajaan Pulau Pinang itu adalah satu penipuan selepas pihak yang membuat tawaran gagal menunjukkan bukti boleh mendapatkan vaksin berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here