Maksimum 2 jam di pusat beli-belah

0
2

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) Sektor Perdagangan Pengedaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia susulan pengumuman kerajaan berkaitan langkah mengetatkan lagi perlaksanaan PKP 3.0 dan sekatan tambahan bagi sektor ekonomi, khususnya berkaitan KPDNHEP yang mengawal selia sektor perdagangan pengedaran termasuk peruncitan dan pemborongan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata SOP Sektor Perdagangan Pengedaran PKP yang telah dikemaskini adalah seperti berikut:

(i) Waktu operasi sektor perdagangan pengedaran termasuk semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan
restoran dihadkan antara jam 8 pagi – 8 malam kecuali bagi kedai farmasi dan penjagaan diri (kecuali yang tersenarai
di bawah aktiviti yang tidak dibenarkan seperti SPA, wellness dan perkhidmatan manicure dan pedicure) dikekalkan antara
jam 8 pagi – 10 malam;

(ii) Mewajibkan had jumlah pelanggan di dalam SEMUA premis peruncitan termasuk kompleks beli-belah dalam satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter per persegi;

(iii) Tempoh masa pelanggan dalam SEMUA premis peruncitan termasuk pusat beli-belah DIHADKAN kepada maksimum dua jam sahaja;

(iv) Had kapasiti pekerja bagi SEMUA premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan kompleks beli-belah termasuk pengurusan, operasi dan sokongan ditetapkan 60%: dan

(v) Premis peruncitan termasuk pusat beli-belah yang tersenarai di bawah Sistem Hotspot Identification for Dynamic
Engagement (HIDE) yang masih berisiko tinggi selepas penilaian risiko dibuat oleh KKM akan ditutup serta-merta tiga hari bagi tujuan sanitasi.

Alexander berkata penambahbaikan dan sekatan tambahan ini akan berkuatkuasa pada 25 Mei 2021 di seluruh negara.

“Bagi memastikan SOP Sektor Perdagangan Pengedaran yang diperketatkan ini dilaksanakan dengan efektif, kementerian memohon semua pemain industri untuk memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya oleh pekerja dan pelanggan masing-masing.

“Pemilik premis perniagaan juga hendaklah sentiasa proaktif, peka dan memastikan pematuhan SOP berada di tahap maksimum bagi memastikan keselamatan premis masing-masing dan orang ramai dapat terpelihara,” katanya.

Beliau berkata KPDNHEP akan menggerakkan 2,262 pegawai penguatkuasa di seluruh negara untuk memastikan pematuhan sepenuhnya SOP yang diperketat ini di semua premis peruncitan, pemborongan, restoran dan pengedaran.

“Penguatkuasa KPDNHEP juga akan memperhebatkan pemeriksaan premis-premis perniagaan termasuk pada hujung minggu dan hari cuti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here